Tuesday, July 19, 2011

warkah terakhir buat isteri

WARKAH TERAKHIR BUAT ISTERIKU

Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee (dah_lobam)

MENEMUI kekasih hati Abang Nur Asma’
Abang masih ingat lagi satu kejadian yang membuka
lembaran baru dalam hidup abang.
Di taman KLCC pada suatu petang yang hening, tatkala
burung berterbangan riang, seusai abang menunaikan
solat Asar. Sewaktu Abang ingin melangkah keluar
daripada masjid, Abang telah bertembung bahu dengan
seorang gadis yang dalam keadaan tergesa-gesa. Pada
pengamatan Abang gadis itu berperwatakan liar dan
hidup dalam suasana bebas tidak terkawal kerana pabila
terlanggar bahu dengannya, Abang pula dikatakan buta.
Tidak langsung menunjukkan adab dan sopan adat
ketimuran seorang wanita Melayu. Tanpa disedari
sewaktu berlakunya pertembungan yang tidak diduga itu
telefon genggam gadis itu terjatuh.
Selepas bertemu di suatu tempat yang telah
dijanjikan, gadis itu mendapat semula telefonnya yang
tercicir. Abang dan gadis itu bertukar-tukar nombor
telefon. Bermula dengan sms terima kasih lalu membawa
kepada satu hubungan yang sukar untuk dihuraikan.
Hubungan yang mungkin lebih daripada seorang sahabat.
Tetapi, masakan Abang dapat menerima gadis tersebut
sebagai bidadari hidup Abang. Abang Azhari. Tidak
mungkin seorang Azhari boleh berkahwin dengan wanita
yang sebegitu. Apa kata orang kampung nanti.
Tercalarlah kredibiliti Abang sebagai seorang yang
faqih agama, berkahwin dengan wanita yang tidak
sekufu. Astaghfirullahhalazim… Ya Allah ampunilah
hamba-Mu ini. Sepatutnya wanita sebegitulah harus
Abang jadikan isteri agar mudah untuk Abang didiknya
nanti. Pada waktu itu Abang ego. Ego pada diri. Bangga
sebagai seorang Azhari.
Abang bertekad. Mungkin susah tetapi semuanya pasti
dengan pertolongan Allah. Abang ingat lagi sewaktu
Abang menyuruh gadis itu menukar cara pemakaiannya
daripada jeans ketat dan t-shirt tidak berlengan
kepada baju kurung yang lebih menonjolkan budaya
ketimuran dan keayuan wanita Melayu, wanita tersebut
berkeras. Budaya itu budaya kampung, tidak up to date,
masakan perempuan kota ingin berpakaian seperti wanita
desa, apa pula kata-kata rakan nanti jawabnya sombong.
Tetapi Abang tegurnya secara berhemah. Dengan lembut
tutur kata Abang berkata padanya bahawa menutup aurat
bukanlah satu budaya, tetapi ia adalah tuntutan Agama.
Islam tidak melarang umatnya untuk bergaya tetapi
mesti kena dengan batasnya. Abang terangkan padanya
tentang cara-cara pemakaian tudung yang dianjurkan
oleh Islam dan hikmah menutup aurat. Abang bacakan
padanya ayat 31 surah An-Nur. Pada mulanya, nampak
berat untuk gadis itu menerima teguran yang diberikan,
tetapi atas dasar agama itu nasihat Abang tidak
berputus asa. Alhamdulillah, walaupun berat, gadis
itu masih tetap ingin cuba untuk berubah. Kini tiada
lagi jeans dan t-shirt tetapi yang menyaluti tubuh
mongel gadis tersebut hanyalah baju kurung. Tetapi
tidak manis baju kurung tidak dipadankan dengan tudung
kepala. Tidak sesuai baju kurung itu hanya dipadankan
dengan rambut yang menggerbang. Kali pertama gadis itu
menutup rambutnya yang panjang mengurai itu dengan
jilbab labuh yang Abang hadiahkan kepadanya, memang
nampak begitu janggal dan rasa ketidak selesaan itu
mula menyapa. Tapi ia lebih selesa setelah sudah
terbiasa.
Kini lengkaplah sudah pakaian yang berciri Islam yang
sentiasa membungkus tubuh gadis itu. Kadangkala
digayakan pula dengan jubah yang sungguh indah.
Syukur, semuanya atas pertolongan Allah.
Sayang,
Bagi Abang tidak cukup rasanya pakaian sahaja yang
baik, tetapi tidak pada kelakuan akhlaknya. Pakaian
yang baik tidak menggambarkan pekerti akhlak si
pemakai. Gadis itu Abang ajar dengan akhlak seindah
Sayyidah fatimah. Abang bersyukur kerana gadis itu
sendiri yang ingin berubah, tanpa perlu dipaksa. Abang
hanya mendorong sahaja. Kehidupan yang bebas,
terkinja-kinja menari di kelab malam, t-shirt dan
jeans, hilai tawa yang bersiponggang yang dahulu
menjadi pujaan dan raja di hati semuanya telah
ditinggalkan, solat lima waktu yang pada suatu ketika
dahulu dibiarkan sepi kini menjadi rutin harian.
Mengaji dan puasa sunat juga tidak pernah
ditinggalkan.
Sayang,
Pastinya jawapan siapakah gadis itu sudah terjawab.
Tidak lain tidak bukan itulah Nur Asma’ Hji Bakri yang
kini menjadi permaisuri di hati dan bakal bidadari
Abang di Syurga yang abadi. Insya-Allah. Sayang, tanpa
disedari sudah empat tahun kita mendirikan mahligai
bahagia. Abang bersyukur kerana dikurniakan penawar di
mata penyejuk di hati semuliamu Asma’. Abang juga
bersyukur kerana selama empat tahun kita melayari
bahtera tiada satu pun ribut badai yang melanda. Abang
gembira kerana dikurnia anak kapal yang setia
sepertimu dan diserikan pula dengan qurratul a’yun
kita yakni Humairah, Insyirah dan Wajdi. Abang
sentiasa mengharapkan agar penyambung zuriat kita dan
pewaris harta kita mewarisi akhlak semulia Sayyidah
Fatimah dan lelaki sehebat Saidina Ali. Itulah harapan
Abang. Doa abang agar merekalah yang akan menjadi
tonggak dalam membangunkan semula Islam yang kian
luntur dalam jiwa Umat Islam kini. Merekalah harapan
abang, harapan Sayang, harapan bangsa dan harapan
semua.
Tetapi sayang, abang tidak dapat melihat mereka
membesar di hadapan mata abang. Tidak dapat Abang
didik dengan tangan Abang dengan sempurna., tidak
dapat Abang curahkan dengan kasih sayang Abang dengan
secukupnya. Mungkin takdir telah mencatatkan yang
Abang tidak mampu melihat Islam gemilang hasil
pengembelingan tenaga daripada mereka.
Sayangku Nur Asma’,
Kau didiklah putera dan puteri kita dengan akhlak
semulia Rasulullah, kerana Rasulullah pernah bersabda
mafhumnya : Terputus amalan seseorang itu setelah dia
mati kecuali dengan tiga perkara.
Ketahuilah olehmu sayang, antara tiga perkara yang
disebutkan itu ialah doa daripada anak-anak yang
soleh. Sayang, hanya itulah yang akan kita dambakan
setelah kita menemui Rabbul Jalil kelak. Doa anak yang
soleh itulah yang akan menyelamatkan kita. Abang
pasti, Abang tidak akan sempat untuk menjadikan mereka
anak yang soleh. Abang yakin di atas pundak Sayanglah
Abang hamparkan segala harapan dan impian kita.
Segala-gala impian yang pernah kita impikan dahulu.
Abang minta maaf kerana terpaksa membiarkan Sayang
mengemudi bahtera ini seorang diri. Sesungguhnya itu
bukanlah kehendak Abang. Carilah nakhoda baru jika
diperlukan. Pastikan anak-anak kita tidak mati
kelemasan disebabkan bahtera yang karam.
Sayang,
Pastinya Sayang tertanya-tanya mengapa Abang berkata
sedemikian. Berat untuk abang katakan, bak kata
pepatah diluah mati emak ditelan mati bapa. Tetapi
inilah yang harus kita telan. Ketahuilah olehmu, Abang
menghidap barah paru-paru yang krtikal. Sudah lama
Abang menanggung penyakit ini tetapi Abang tidak
sanggup untuk memberitahumu kerana risau ianya akan
mengganggu hidupmu. Abang hanya dapat meneruskan
kehidupan ini untuk beberapa bulan sahaja lagi.
Kemudian kita akan berpisah. Berpisah buat
selama-lamanya.
Ya Allah. Betapa sedihnya hatiku, setelah Kau
kurniakan aku keluarga yang bahagia, isteri yang telah
aku corakkan dengan acuan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Mu
dan setelah kau kurniakan aku qurratul a’yun penyejuk
mata, kini Kau akan mengambil aku daripada mereka. Ya
Allah, aku sabar dan aku tabah. Kerana untuk
menemui-Mu itulah yang kudambakan. Tetapi aku
terkilan, kerana aku tidak akan dapat bersama mereka
yang amat aku cintai lagi. Akanku pastikan, mereka
akan menerima sepenuh perhatian daripadaku hanya untuk
beberapa bulan sahaja lagi sebelum aku menemui-Mu
kelak. Aku pasrah dengan takdir-Mu Ya Allah.
Cintaku Nur Asma’
Abang harap kau dapat menerima takdir ini sepertimana
Abang dapat menerima perpisahan yang bakal berlaku.
Semoga cinta yang telah lahir ini akan membawa kita ke
Syurga. Syurga yang abadi buat selamanya.

Yang mengasihimu
abang

1 comment:

  1. sedihnya...terharu la...semoga aku pun akan merasai bercinta sampai ke syurga....

    ReplyDelete